Percaya kepada Qadha dan Qadar ALLah Taala: Pengertian Qadha dan Qadar.
Assalaamualaikum dan salam hormat.
Rukun iman terdiri dari enam perkara. Yang pertama percaya kepada ALLah Taala, yang kedua percaya kepada Malaikat, yang ketiga percaya kepada kitab ALLah Taala, yang keempat percaya kepada Rasul ALLah Taala, yang kelima percaya kepada hari akhirat dan yang keenam percaya kepada Qadha dan Qadar.
Rukun iman yang pertama telah penulis telah jelaskan dengan panjang lebar dalam bab mengenal ALLah Taala. Di sini penulis ingin menjelaskan rukun Islam yang keenam terlebih dahulu kerana ia berkait secara langsung manusia dengan ALLah Taala. Dan tidaklah penulis bermaksud untuk melangkaui turutan Hadith rukun iman itu. Cuma penulis merasakan perlu dijelaskan terlebih dahulu kerana ramai umat Islam yang mungkin kurang jelas terhadap asas-asas Qadha dan Qadar ini.
Dan penulis akan menjelaskan asas yang penting secara rengkas dan mudah supaya pembaca dapat memahaminya dengan baik.
Erti Qadha dan Qadar.
Qadar ertinya ialah ketetapan ALLah Taala terhadap sesuatu perkara. Ketetapan ini berlaku sebelum manusia tercipta. Ertinya sebelum sesuatu yang baharu dari alam itu sebelum dzahir, ia telah ditetapkan terlebih dahulu di alam Malakut ALLah Taala. Dan ia telah dituliskan di Loh Mahfudz (Papan terpelihara) ALLah Taala.
Qadha ertinya perlaksanaan sesuatu yang telah ditetapkan itu. Ertinya ketetapan sesuatu perkara yang baharu dari alamyang telah tertulis di Loh Mahfudz itu dicipta ke alam dzahir melalui perintah takluk Qudrah ALLah Taala.
(Ini menurut imam Abu Hasan Asy’ari. Tetapi menurut Abu Mansur Maturidi, Qadha ialah ketetapan dan Qadar pula ialah perlaksanaan Qadha itu)
Erti beriman kepada Qadha dan Qadar ALLah Taala.
Beriman kepada Qadha dan Qadar bererti seseorang itu wajib yakin dengan sepenuhnya bahawa sesuatu yang berlaku itu telah termaktub dalam Ilmu ALLah Taala, telah ditetapkan di Loh Mahfudz sejak azali lagi. Ertinya apa yang berlaku di alam yang baharu ini adalah sesuai dengan apa yang telah ditetapkan itu.
Sesuatu yang telah ditetapkan sejak azali tidak akan berubah walau sedikitpun. Ia adalah ketentuan mutlak ALLah Taala. Tidak ada pada hakikatnya yang boleh menentang Ketetapan ALLah Taala itu.
Namun hakikat ini perlu penjelasan yang sangat terperinci. Kerana hendaklah kita mengetahui perbezaan antara Iktiqad yang benar dari Ahlussunnah Waljaam’ah berbanding yang bathil dari Jabariah mahupun muktazilah.
Dalil Qadha dan Qadar.
Firman ALLah Taala bermaksud “Sesungguhnya Kami menjadikan setiap sesuatu dengan kadarnya (al-Qamar 54: 49). Dan Firman ALLah Taala lagi bermaksud “Tidak ada sesuatu melainkan pada sisi Kami perbendaharaannya dan tiada Kami turunkan melainkan dengan kadar yang ditentukan” (al-Hijr 15: 21)
Dan Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud “Jika sesuatu menimpamu, maka janganlah mengatakan: Sandainya aku melakukannya, niscaya akan demikian dan demikian. Tetapi ucapkanlah: Sudah menjadi ketentuan Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti terjad” (Riwayat Muslim)
Qadha dan Qadar adalah masalah iktiqad yang rumit.
Sesungguhnya Qadha dan Qadar adalah iktiqad yang sangat rumit. Maka hendaklah difaham dengan sebaiknya kerana ada sesetengah perkara itu mendatangkan waham seolah-olah usaha manusia boleh menghapuskan Ketetapan Allah Taala. Sedangkan manusia disuruh berusaha untuk merubah nasib diri.
Penulis akan menjelaskan pada tulisan yang akan datang.
Wassalam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar